Kelantan masih berteka-teki

November 14, 2015
image

Kontrak kapten, Mohd Badhri Radzi (depan) tamat hujung bulan ini manakala kedudukan Zahasmi (belakang) masih samar untuk terus membimbing Kelantan, pada musim depan.

SIAPA yang akan berada dalam senarai skuad 25 pemain The Red Warriors (TRW) untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2016 masih lagi menjadi persoalan.

Ketika ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih membisu berhubung perkara tersebut sekali gus meninggalkan teka-teki dalam kalangan penyokong setia mereka pemain mana yang akan kekal bersama skuad pantai timur itu.

Difahamkan, hanya 12 pemain tempatan yang masih memiliki baki kontrak sehingga musim depan namun mereka dikatakan ditawarkan gaji rendah berbanding tahun ini sekiranya mahu terus menyarung jersi bekas juara tiga piala musim 2012 itu.

Sebilangan pemain yang bakal tamat kontrak pada hujung bulan ini juga turut berdepan dilema apabila mendapat tawaran sama namun mereka masih belum membuat keputusan untuk kekal bersama pasukan itu.

Setakat ini, belum ada petunjuk mana-mana pemain luar menzahirkan keinginan untuk berkelana ke Kota Bharu ketika itu tunggakan gaji sedang membelenggu pemain dan pegawai Kelantan, sejak empat bulan lalu.

IMPORT ANGKAT KAKI

Masa depan empat pemain import iaitu Jonathan McKain, Erwin Carrillo, Gilmar Jose Da Silva Filho dan Austin Amutu hampir pasti terjawab sedikit masa lagi biarpun berita ‘angkat kaki’ mereka bukan lagi rahsia dalam kalangan penyokong Kelantan, ketika ini.

Kecuali McKain yang masih berbaki kontrak setahun lagi, Carrillo dan Amutu hampir pasti akan digugurkan atas faktor prestasi tidak memberangsangkan sepanjang mewakili Kelantan pada musim ini.

Namun begitu, Mckain, bekas pertahanan antarabangsa Australia juga turut berhasrat mengucap selamat tinggal kepada Kelantan berdasarkan persetujuan bersama kedua-dua pihak.

Pemain import kedua terbaik Pahlawan Merah selepas Dickson Nwakaeme, Jose Da Silva Filho kemungkinan besar akan meninggalkan skuad kendalian Zahasmi Ismail sekali gus membuka ruang kepada beberapa pasukan lain memburu pemain Brazil itu.

SIAPA CALON KERUSI PANAS

Turut mencuri perhatian ialah calon kerusi panas ‘ketua jurulatih’ dan timbul persoalan sejauh mana Kafa berminat untuk mengekalkan Zahasmi Ismail ketika persatuan itu dikhabarkan tidak bersedia mendapatkan pengendali baharu ekoran bebanan kewangan.

Dari sudut, mungkin inilah masa terbaik bagi Kelantan menggunakan kepakaran anak tempatan sepenuhnya dan Zahasmi dilihat calon paling sesuai untuk mengembalikan pasukan itu ke prestasi sebenar.

Namun dalam konteks lain, mungkin juga Kelantan memerlukan sentuhan magis jurulatih import bagi membawa pasukan itu kembali disegani sebagaimana dibuktikan B Sathiananthan (2010) dan Bojan Hodak, tiga tahun lalu.

www.sinarharian.com.my