Andai tewas, lupakan Piala Malaysia

October 17, 2015
image

Jose Da Silva Filho (kiri) hampir pasti menjadi sandaran utama bersama Ahmad Fakri Saarani untuk merobek gawang Felda United.

PELUANG The Red Warriors untuk mara ke saingan suku akhir kempen Piala Malaysia banyak bergantung pada pertemuan menentang Felda United FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Secara matematik, jika tewas bererti bekas juara musim 2010 dan 2012 itu mungkin sudah boleh mengucap selamat tinggal sekali gus memahat rekod buruk gagal melangkah ke suku akhir buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun.

Namun selagi wisel penamat aksi 90 minit pada malam ini belum ditiupkan, sesiapa pun tidak boleh membuat andaian bahawa skuad kendalian Zahasmi Ismail itu sudah tersingkir dalam perebutan slot ke suku akhir pertandingan piala paling berprestij itu.

Turun barisan terkuat

Kelantan dijangka menampilkan barisan terkuat mereka selepas kembalinya tiga pemain kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, Amiridzwan Taj Tajudin dan Wan Zack Haikal Wan Noor ke pangkuan mereka untuk bertemu skuad Irfan Bakti Abu Salim itu.

Malah tempoh rehat lebih dua minggu sudah pasti memberi ruang kepada beberapa tonggak seperti Jonathan McKain, Norhafiz Zamani Misbah, Erwin Carrillo dan Austin Amutu untuk kembali pulih daripada kecederaan masing-masing.

Pengendali berusia 48 tahun itu dijangka mempertaruhkan gandingan Gilmar Jose Da Silva Filho dan Ahmad Fakri Saarani selaku penggempur utama bagi merobek gawang The Fighters yang dikawal Mohd Farizal Harun pada pertemuan getir malam ini.

Misi tidak mustahil

Kejayaan mengikat seri dengan Felda United di Selayang pada aksi penghujung liga sedikit sebanyak memberi keyakinan buat Kelantan untuk mencipta misi tidak mustahil di gelanggang lawan.

Bagaimanapun, anak buah Zahasmi perlu waspada dengan kelibat perancang tengah Zah Rahan Krangar, Indra Putra Mahayuddin, Christie Jayaseelan selain Bojan Miladinovic dan kapten, Muhammad Shukor Adan yang cukup kental menerajui benteng pertahanan mereka.

Selain penyerang mereka, Makeche Ndumba dan Thiago Augusto Fernandes, Kelantan juga tidak boleh memandang sepi Ahmad Syamim Yahya kerana penyerang muda itu cukup lincah dan mampu menjaringkan gol sekiranya diberi ruang terlalu bebas pada pertemuan ini.

www.sinarharian.com.my