Lipat ganda latihan hadapi T-Team

September 23, 2015
image

Zahasmi memantau sesi latihan pemain menjelang aksi menentang T-Team, Sabtu ini.

KELANTAN terpaksa melipat gandakan latihan sebagai persediaan awal menghadapi T-Team dalam aksi Kumpulan C, kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Pengendali The Red Warriors (TRW), Zahasmi Ismail berkata, anak buahnya dikerah menjalani latihan sebelah pagi dan petang sebelum pasukannya diberi cuti rehat bermula hari ini bagi menyambut Hari Raya Aidiladha, esok.

“Memang pemain menjalani latihan dua kali sehari sejak Ahad lalu kerana kami sebenarnya kesuntukan masa memandangkan jadual perlawanan menentang T-Team jatuh pada hari raya ketiga.

“Tapi saya tidak mahu merungut kerana semua pasukan juga mengalami situasi sama seperti Kelantan dan saya fikir ia bukan satu masalah, biarpun kami hanya mempunyai masa singkat untuk menyiapkan pasukan ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jurulatih berusia 48 tahun itu memberitahu, dia memanfaatkan latihan tersebut dengan memperbaiki segala kelemahan dalam pasukannya selepas mencatatkan seri 1-1 dengan Felda United di laman sendiri, baru-baru ini.

“Perancangan kami sedikit terbantut apabila Austin Amutu dan Jonathan McKain mengalami kecederaan.

“Amutu sudah dua hari tidak turun berlatih, namun saya berharap McKain segera pulih menjelang pertemuan Sabtu ini,” katanya.

Mengulas pertemuan menentang T-Team, Zahasmi memberitahu, pasukannya akan meneruskan misi memburu mata penuh biarpun sedar skuad kendalian Tomislav Steinbrucker akan bermain mati-matian selepas tewas dua perlawanan berturut-turut.

“Kami perlu menewaskan T-Team dan Selangor selepas ini jika mahu ke suku akhir tetapi kami tidak akan memandang rendah T-Team, memang pasukan itu kalah dua kali tetapi tidak mustahil boleh bangkit, lebih-lebih lagi mereka beraksi di tempat sendiri,” katanya.

www.sinarharian.com.my